UPKK | Ujian Penilaian Kelas KAFA bagi Calon 2023 dan 2024

Kemaskini! UJIAN PENILAIAN KELAS KAFA (UPKK) CALON 2020 DAN 2021 AKAN DILAKSANAKAN SERENTAK

#PdPR turut diambil kira komponen penilaian UPKK #Simpeni KAFA 2021 #Simpeni JAKIM 2021

PUTRAJAYA: Ujian Penilaian Kelas Kafa (UPKK) bagi calon tahun 2020 dan juga 2021 dijangka dilaksanakan secara serentak tahun ini.

Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), Datuk Abdul Aziz Jusoh berkata, ia meliputi pelaksanaan ujian bertulis akan mengikut jadual dan perancangan yang ditetapkan.

“Ia dengan mematuhi sepenuhnya Garis Panduan Pengoperasian Kelas Al-Quran dan Fardu Ain (KAFA) serta Sekolah Agama dalam Norma Baharu,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Langkah penerusan UPKK itu turut mendapat kelulusan Majlis Keselamatan Negara (MKN) pada 9 Jun lalu berdasarkan pandangan dan ulasan daripada pihak Kementerian Kesihatan.

Sebelum itu, Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Dr. Radzi Jidin di ibu negara pada 28 April lalu mengumumkan pemansuhan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) mulai tahun ini.

Sebaliknya, peperiksaan kebangsaan bagi murid tahun enam itu yang diperkenalkan sejak 1988 lalu bagi menggantikan Penilaian Darjah Lima, ditukar kepada Pentaksiran Bilik Darjah.

Mengulas lanjut, Abdul Aziz berkata, Jakim mengambil perhatian dan memahami keresahan ibu bapa berkaitan pelaksanaan UPKK pada kali ini dalam situasi semasa wabak Covid-19.

“Namun, Jakim optimis usaha kerajaan menangani penularan pandemik itu khususnya aspek kesihatan murid dan petugas peperiksaan serta bersedia sebarang kemungkinan,” katanya.

Ini dilakukan melalui kerjasama pelbagai agensi dalam penyediaan pelan tindakan sewajarnya demi memastikan UPKK berjalan lancar selain penilaian juga dibuat melalui beberapa kaedah.

Dua subjek penilaian amali iaitu subjek Solat dan Penghayatan Cara Hidup Islam ujar beliau, telah bermula awal takwim persekolahan 2021 selaras Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Ujar Abdul Aziz, Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) turut diambil kira oleh guru ketika operasi sekolah ditutup selain ujian bulanan serta aktiviti dalam dan luar bilik darjah.

Bagi subjek Al-Quran meliputi ujian lisan tadarus dan tilawah, hafazan dan tafsir pula katanya, ia akan dinilai guru masing-masing yang dijadualkan pada sepanjang September depan.

“Lima mata pelajaran bertulis iaitu Ulum Syariah (Aqidah dan Ibadah), Sirah, Jawi dan Khat, Adab serta Lughatul Quran bakal dilaksanakan bermula dari 4 hingga 7 Oktober ini,” jelasnya.

Beliau menambah, UPKK masih relevan dan terbukti menerusi pertambahan calon setiap tahun yang menunjukkan kesedaran bagi menjadikan KAFA sebagai pengukuhan ilmu Islam.

Peperiksaan itu malah dijadikan sokongan untuk kemasukan ke 60 buah sekolah menengah kebangsaan agama di bawah Kementerian Pendidikan yang jadi pilihan ibu bapa ketika ini.

Tidak ketinggalan keputusan UPKK boleh dijadikan kelebihan untuk kemasukan ke 12 buah sekolah berasrama penuh integrasi dan tiga buah sekolah menengah agama persekutuan. -UTUSAN ONLINE

Sumber : Utusan Online

PdPR turut diambil kira komponen penilaian UPKK

PUTRAJAYA: Sesi Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) turut diambil kira sebagai satu daripada komponen penilaian Ujian Penilaian Kelas KAFA (UPKK) murid yang dinilai guru Kelas al-Quran dan Fardu Ain (KAFA) sekolah masing-masing.

Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), Datuk Abdul Aziz Jusoh, berkata beliau memahami keresahan ibu bapa berkaitan pelaksanaan UPKK bagi calon tahun 2020 dan 2021 yang dilaksanakan secara serentak tahun ini.

Beliau berkata, setiap subjek dirangka dalam kurikulum UPKK turut merangkumi aspek penghayatan dan amalan cara hidup Islam dalam kehidupan seharian.

“Malah, ia tidak terikat dengan pelaksanaan peperiksaan semata-mata, tetapi menjadi sebahagian daripada amalan fardu ain.

“UPKK mempunyai lapan subjek iaitu dua subjek amali, satu subjek ujian lisan dan lima subjek bertulis,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Pada 11 November tahun lalu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri dilaporkan berkata, ujian UPKK tahun 2020 akan dilakukan serentak dengan UPKK tahun ini iaitu bermula 4 hingga 7 Oktober depan.

Abdul Aziz berkata, bagi dua subjek penilaian amali iaitu Mata Pelajaran Amali Solat dan Penghayatan Cara Hidup Islam, penilaian bermula dari awal takwim persekolahan tahun ini.

“Ia berdasarkan penilaian sepanjang sesi persekolahan termasuk sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) dan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) dengan mengambil kira ujian bulanan dan aktiviti dalam serta luar bilik darjah,” katanya.

Abdul Aziz berkata, bagi subjek al-Quran yang merangkumi Ujian Lisan Tadarus dan Tilawah al-Quran, Hafazan dan Tafsir al-Quran akan dinilai guru KAFA sekolah dijadualkan bermula 1 hingga 30 September ini.

Sementara itu, lima subjek bertulis iaitu Ulum Syari’ah (Aqidah dan Ibadah), Sirah, Jawi dan Khat, Adab Kertas 1 & 2 serta Lughatul Quran akan dilaksanakan pada 4 hingga 7 Oktober depan.

“Sehingga kini, UPKK masih relevan dan terbukti dengan pertambahan jumlah calon menduduki ujian itu.

“Dengan mengambil kira tempoh masa yang ada, pelaksanaan ujian bertulis UPKK masih mengikut jadual dan perancangan ditetapkan.

“Ia akan dilaksanakan dengan mematuhi sepenuhnya Garis Panduan Pengoperasian Kelas al-Quran dan Fardu Ain dan Sekolah Agama Dalam Norma Baharu yang mendapat kelulusan Majlis Keselamatan Negara (MKN) pada 9 Jun lalu, berdasarkan ulasan serta pandangan dikemukakan Kementerian Kesihatan (KKM).

“JAKIM sentiasa memberi perhatian serius terhadap situasi semasa penularan COVID-19 di negara ini khususnya dari aspek keselamatan murid dan semua petugas peperiksaan,” katanya.

Beliau berkata, pihaknya dengan kerjasama semua agensi sudah menyediakan pelan tindakan sewajarnya bagi memastikan pelaksanaan UPKK tahun ini berjalan lancar.

– BERNAMA

Advertisement


(Visited 3,570 times, 1 visits today)

Leave a Comment