Cara Mohon Pinjaman Pelajaran MARA

Syarat Pinjaman Pelajaran MARA

Syarat kelayakan pinjaman pelajaran MARA terbahagi kepada 3 bahagian iaitu:

  1. Syarat AM
  2. Syarat Pendapatan Penjaga
  3. Syarat Kelayakan Akademik

Syarat AM Pinjaman Pelajaran MARA

  • Pemohon mestilah Bumiputera dan memegang kewarganegara Malaysia.
  • Ibu atau bapa pemohon juga berstatus Bumiputera dan memegang kewarganegaraan Malaysia.
  • Ibu atau bapa pemohon tidak disenarai hitam oleh pihak MARA. Kes senarai hitam MARA ni biasanya melibatkan ibu bapa pemohon pernah menjadi penjamin pinjaman MARA orang lain dan orang tersebut tidak membuat bayaran balik kepada pihak MARA.
  • Tidak pernah ditamatkan bantuan atau ditarik balik bantuan oleh mana‐mana badan penganjur atas sebab‐sebab tindakan disiplin.
  • Tidak pernah dianjur oleh mana‐mana badan penganjur lain di peringkat pengajian yang sama.
  • Mendapat pelepasan kontrak jika pernah ditaja oleh badan penganjur lain.
  • Mendapat penggantungan atau pelepasan jawatan atau kebenaran bertulis dari majikan bagi calon yang sedang dalam perkhidmatan. Ini biasanya kalau pemohon sedang bekerja dan ingin melanjutkan pelajaran.
  • Diperakui sihat dan normal oleh panel doktor yang bertauliah.
  • Tidak pernah diberhentikan pengajian atas sebab GAGAL bagi pengajian terdahulu. (Penalti satu semester dan permohonan pinjaman hanya akan dipertimbangkan pada semester kedua)

Syarat Pendapatan Penjaga

MARA mengklasifikasikan kemudahan pinjaman pelajaran kepada dua, iaitu tajaan penuh dan tajaan yuran pengajian sahaja. Istilah pinjaman ni dipanggil tajaan, bukan bermaksud tajaan yang tak perlu dibayar balik ye. Ini cuma istilah sahaja.

Tajaan penuh bermaksud, pihak MARA akan membayar yuran pengajian dan akan memberikan elaun bulanan yang dipanggil sebagai elaun sara hidup. Elaun ini akan diberkan sehingga tarikh anda tamat pengajian.

Tarikh tamat pengajian ini adalah tempoh pengajian anda yang telah dipersetujukan di dalam perjanjian. Kalau anda sepatutnya tamat pengajian pada Jun 2025, anda tidak akan mendapat elaun lagi sekiranya anda masih dalam pengajian. Contohnya kes tangguh semester.

Manakala tajaan yuran pengajian, pihak MARA akan membayar yuran pengajian sahaja. Perbelanjaan lain adalah ditanggung sepenuhnya oleh pelajar.

Berikut adalah pecahan syarat pendapatan:

  • Pendapatan bercukai tahunan kurang dari RM144,000.00 Jenis bantuan: Tajaan Penuh
  • Pendapatan bercukai tahunan melebihi RM144,001.00  sehingga RM240,000.00 Jenis bantuan: Tajaan Separuh
  • Pendapatan bercukai tahunan melebihi RM240,001.00 adalah dikategorikan sebagai Tidak Layak.

    Nota: Bantuan separuh* bermaksud elaun sara hidup bulanan tidak termasuk dalam bantuan pinjaman yang diberi.

Syarat Kelayakan Akademik

Syarat kelayakan akademik pinjaman pelajaran MARA adalah sebagai panduan bagi anda yang ingin memohon pinjaman pelajaran MARA setelah ditawarkan tempat pengajian adalah seperti berikut :

Syarat SPM

Untuk syarat kelayakan SPM, ianya terbahagi kepada syarat untuk program teknikal dan program bukan teknikal.

Contoh program teknikal adalah program sains komputer, sains dan sealiran dengannya. Manakala program bukan teknikal seperti human resource, program bahasa, management dan sebagainya.

Syarat SPM bagi program teknikal

  1. Subjek  WAJIB kredit adalah MATEMATIK
  2. 1 subjek dari kumpulan Sains / Tenikal / Vokasional seperti Sains, Biologi, Kimia dan sebagainya.
  3. Dan 1 dari mana-mana subjek lain seperti Sejarah, Pendidikan Islam, Bahasa atau sebagainya.
  4. Subjek  yang wajib LULUS – Sejarah dan Bahasa  Melayu

Syarat SPM bagi program non-teknikal

  1. Subjek  WAJIB kredit – mana-mana tiga subjek SPM boleh diambil kira.
  2. Subjek  yang wajib LULUS – Sejarah dan Bahasa  Melayu

Syarat STPM / Diploma / SKM

STPM

Perlu  mendapat  sekurang‐kurangnya  2  prinsipal  di  peringkat  STPM dan
LULUS dalam  subjek  Bahasa  Melayu  di  peringkat  SPM

DIPLOMA

Perlu  mendapat  sekurang‐kurangnya  CGPA  2.00  di  peringkat  Diploma  dari  IPMA atau CGPA  2.50  dari  IPTA/IPTS dan LULUS dalam  subjek  Bahasa  Melayu  di  peringkat  SPM

SKM

Sekurang-kurangnya LULUS tahap 3.

Pemohon yang tidak memenuhi syarat kelayakan akademik yang ditetapkan boleh memohon kemudian menggunakan keputusan peperiksaan semester atau tahun (mengikut struktur program) dengan mendapat CGPA 2.00 dan ke atas atau yang sama nilai dengannya.

Sebagai contoh di KPTM, syarat kelayakan untuk masuk ke kebanyakan program adalah minima tiga kredit sahaja. Sekiranya anda hanya mendapat tiga kredit SPM dan masuk ke program teknikal, anda tidak layak untuk mohon pinjaman MARA. Tapi anda boleh menggunakan keputusan peperiksaan semester 1 untuk mohon pinjaman MARA.

Bagi permohonan pinjaman yang menggunakan kelayakan selain dari SPM seperti contoh menggunakan sijil/ diploma atau lain‐lain kelayakan yang dibenarkan oleh MARA perlu juga mendapat kredit dalam subjek Bahasa Melayu diperingkat SPM/SPMV.

Cara Mohon Pinjaman Pelajaran MARA

Pemohon yang telah menerima surat tawaran melanjutkan pengajian ke KPTM atau mana-mana IPMa, serta layak memohon mengikut syarat‐syarat yang dinyatakan, adalah dikehendaki membuat Permohonan Pinjaman Pelajaran MARA melalui Sistem Permohonan Pinjaman Pelajaran MARA yang hanya terbuka kepada pengguna yang berdaftar dengan melayari laman web berikut:

http://eduloan.mara.gov.my/

Pemohon hendaklah membaca dengan teliti dan memahami Garis Panduan Permohonan dalam laman web berkenaan sebelum membuat permohonan Pinjaman secara online (e‐Eduloan).

Selepas menghantar permohonan pinjaman MARA secara online, permohon boleh menyemak status permohonan melalui sistem yang sama. Bergantung kepada status permohonan pinjaman, skrin akan dipaparkan mengikut maklumat terkini status permohonan.

Setelah diluluskan, pemohon dikehendaki mencetak surat tawaran bersama‐sama dokumen perjanjian mengikut arahan yang ditetapkan oleh MARA.

Dokumen yang telah dilengkapkan hendaklah dihantar bersama‐sama borang permohonan (dicetak setelah membuat permohonan secara on line) dan juga set 2 ke pejabat unit tajaan kolej masing‐masing paling lewat 2 minggu dari tarikh mencetak surat tawaran.

Pinjaman Pendahuluan MARA

Ramai yang tak tahu berkenaan pinjaman pendahuluan MARA ni. Pinjaman pendahuluan ini adalah kemudahan yang ditawarkan kepada pemohon yang kurang berkemampuan untuk membuat persediaan lapor diri.

Maklumlah, yuran lapor diri dan persediaan untuk masuk belajar bukanlah sedikit. Nak beli kelengkapan belajar dan sebagainya. Oleh itu, pihak MARA memberikan kemudahan pinjaman pendahuluan. Jumlah maksima yang boleh dimohon adalah RM2,000.

Pinjaman ini diberikan kepada mereka yang telah mendapat surat tawaran dari institusi pengajian sahaja. Selepas dapat surat tawaran, anda boleh membuat permohonan di laman web Pinjaman Pendahuluan MARA.

Syarat Pinjaman Pendahuluan MARA

Pemberian Wang Pendahuluan bagi tahun 2021 adalah kepada pelajar yang melanjutkan pengajian di Institusi Pendidikan MARA (IPMa) dari keluarga yang layak menerima Bantuan Prihatin Rakyat (BPR) sahaja, iaitu pendapatan kasar bulanan ibu dan bapa atau penjaga pelajar tidak melebihi RM6,000.00 sebulan.

Pelajar adalah warganegara Malaysia dan bertaraf Bumiputera, berumur tidak melebihi 35 tahun bagi peringkat Diploma dan 40 tahun bagi peringkat Ijazah Pertama.

Pelajar telah ditawarkan mengikuti pengajian secara sepenuh masa di peringkat Persediaan / Pra-Universiti di bawah program Young Talent Programme (YTP) atau Diploma atau HND atau Ijazah Pertama (Sarjana Muda) di Institusi Pendidikan MARA (IPMa) di bawah Program Penajaan Pengajian Tertiari (TESP).

Pendahuluan pinjaman pelajaran boleh dipertimbangkan kepada seorang pelajar bagi setiap peringkat pengajian sekiranya pelajar tersebut melanjutkan pengajian ke peringkat yang lebih tinggi. Jika peringkat pengajian yang sama, permohonan tidak layak dipertimbangkan.

Pelajar yang terdiri daripada mereka yang telah bekerja atau sedang mengikuti pengajian TIDAK LAYAK dipertimbangkan

Anda boleh merujuk semula sekiranya ada perubahan pada syarat dan tatacara permohonan di website tersebut.

Proses Permohonan dan Pembayaran Balik Pinjaman Pelajaran MARA

Cara untuk mohon pinjaman pelajaran MARA secara tak langsung saya dah terangkan di atas. Jadi kita cuma tengok proses pembayaran balik pinjaman sahaja.

Selepas tamat belajar, anda boleh membuat permohonan untuk mengurangkan jumlah bayaran. Untuk membuat pengurangan anda boleh rujuk tatacara dan proses terkini di website eConversion MARA.

Anda perlu mendaftar sebagai pengguna di website eBaki MARA. Sediakan dokumen selengkapnya sebelum membuat permohonan.

Pastikan anda tamat belajar dalam tempoh yang ditetapkan, dan tidak membuat pertukaran kursus semasa belajar.

Jadual pembayaran akan dikeluarkan dan anda boleh membuat semakan jumlah yang perlu anda bayar di website eBaki.

Nota: Pinjaman Pendahuluan tak boleh dibuat pengurangan ya. Kalau pinjam RM2000, wajib kena bayar RM2000 juga. Jadi pastikan anda betul-betul memerlukan sahaja baru mohon.

Advertisement


(Visited 851 times, 1 visits today)

Leave a Comment